Madu kelulut atau stingless bee honey merupakan antara produk madu tempatan yang cukup popular. Madu yang dihasilkan oleh lebah Meliponine sp ini mempunyai rasa masam-masam manis dengan sedikit rasa buah. Berbanding madu biasa yang berwarna kuning keemasan, madu ini juga berwarna lebih gelap menunjukkan kandungan antioksidanya yang sangat tinggi.
Selain antioksida, madu kelulut ini juga sering diamalkan sebagai makanan tambahan disebabkan oleh kelebihan yang terkandung di dalamnya seperti antiradang, antikulat dan antimikrob.
Dengan pelbagai khasiat yang ditawarkan madu ini, kerajaan juga telah mewartakan jenama Madu Kelulut sebagai Superfood bagi Malaysia sejak tahun 2017.
Ciri-Ciri Madu Kelulut dan Perbezaannya Dengan Madu Biasa
Spesis Lebah Kelulut
Terdapat lebih 80 spesis kelulut di Malaysia dan kurang dari 10 spesis yang sesuai diternak dan dikomersialkan. Spesis kelulut yang popular terdiri daripada Heterotrigona itama (Itama), Lepidotrigona terminata dan spesis Geniotrigona thoracica (Torasika).
Meliponikultur
Penternakan kelulut digelar sebagai meliponikultur. Kelulut boleh diternak daripada koloni liar sama seperti lebah lalat. Penternak menggunakan pelbagai jenis bentuk haif mengikut kesesuaian sesuatu koloni kelulut. Ada yang terus dari tunggul kayu, kotak haif, atau gabungan kedua-duanya.
Terdapat pelbagai jenis teknik penternakan kelulut. Ini berdasarkan faktor setempat. Di Malaysia terdapat dua jenis seni bina haif bagi membela kelulut iaitu haif 'topping' dan kotak haif. Setiap seni bina mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Bagi haif 'topping', teknik ini diaplikasi dengan memotong tunggul atau batang kayu tempat koloni liar kelulut dijumpai. Kemudian kotak diletakkan di atas tunggul kayu itu. Teknik ini amat sesuai untuk kawasan yang panas kerana koloni tersebut masih lagi dibiarkan di dalam kayu. Kelemahan kaedah ini, penternak hanya dapat menuai madu sahaja berbanding teknik kotak haif.
Bagi kotak haif pula, memberi kemudahan bagi penternak untuk menuai madu, roti lebah dan propolis. Namun, teknik memindahkan koloni liar dari tunggul kayu ke dalam kotak memerlukan penternak mahir agar telur dan sarang kelulut tidak rosak semasa proses pemindahan dijalankan.
Comments
Post a Comment